Wednesday 26 March 2014

MISTERI KEHILANGAN MH370

Sebenarnya Ainy rasa sedih sangat bila mengenangkan penumpang dan anak kapal pesawat penerbangan MH370 ni..memang tak dapat digambarkan denagn kata-kata... tambahan pula bila di semua media massa menyiarkan dan memutarkan bacaan surah Al-Fatihah..walaupun mereka yang terlibat bukan sesiapa pada Ainy tapi tak dapat bayangkan kalau kita berada di tempat keluarga mangsa MH370. 
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui akan semua yang terjadi..mungkin ada hikmah disebalik semuanya..



Kuala Lumpur: Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 sejak 17 hari lalu terungkai apabila disahkan terhempas di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth.

Berita menyayat hati itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi dan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia. 

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu, dilaporkan hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu. 


MH370 meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam sebelum gagal dikesan menara kawalan mulai jam 1.23 pagi.


Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri:

“Malam ini, saya diberi taklimat oleh wakil Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom. Mereka memaklumkan bahawa Inmarsat, syarikat penyedia data satelit di UK yang memberi petunjuk berhubung koridor utara dan selatan, telah melakukan penilaian terperinci terhadap data yang diperoleh.

Petunjuk lebih kukuh

Mereka menggunakan kaedah analisis yang tidak pernah digunakan dalam mana-mana siasatan seperti ini. Hasilnya, mereka mendapat petunjuk lebih kukuh berhubung laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis baru ini, Inmarsat dan AAIB merumuskan pesawat MH370 terbang melintasi koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah Lautan Hindi, di barat daya Perth.

Ini adalah lokasi terpencil, jauh daripada sebarang kawasan pendaratan. Justeru, dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan bahawa susulan maklumat terbaru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.


Butiran terperinci hari ini

Kami akan mengadakan sidang media esok (hari ini) dengan butiran lebih terperinci. Sementara itu, kami ingin memaklumkan perkembangan terbaru ini seawal mungkin. Maklumat ini dikongsi atas dasar keterbukaan dan menghormati keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi panduan siasatan selama ini.

Penerbangan Malaysia sudah menemui semua keluarga penumpang dan kru terbabit bagi memaklumkan perkembangan ini. Bagi mereka, apa yang dilalui sejak beberapa minggu lalu amat memilukan. Saya tahu berita ini pasti lebih sukar diterima. Saya meminta pihak media menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang yang diperlukan dalam detik menyukarkan seperti ini.”

Demikianlah petikan dari Berita Harian 
semua rakyat Malaysia berkongsi kesedihan 
Semoga dengan Doa seluruh dunia usaha mencari 
bangkai pesawat dipermudahkan
AMIINNN....

No comments:

Post a Comment